Thursday, February 10, 2011

Pola Keutamaan Dalam Langkah Pembangunan

Secara logik akal suatu pembangunan itu menapak sebegini :

  1. Ada - yakni kita adakan dulu infra-structure seperti jalan raya, jambatan dan sebagainya walaupun ianya mungkin tidak sempurna dari keselamatan, keselesaaan, kecekapan atau mesra rakyat dan bernilai estetik. Dengan lain perkataan, ada secara ala-kadar sahaja olehkerana kedudukan ekonomi.
  2. Ada dan selamat digunakan  -  setelah masa berlalu infra yang ala kadar sebelum ini mestilah dijadikan lebih tinggi tahap keselamatan keatas penggunanya.Contohnya memasan lampu isyarat dipersimpangan.
  3. Ada, selamat dan selesa -  setelah ekonomi berkembang maka segerakanlah menjadikan infra tadi selesa pula bagi pengguna. Contohnya, jalan belum bertar, tarkan. Jalan bertar yang sempit diluaskan. 
  4. Ada, selamat, selesa dan cekap -  setelah zaman berlalu keadaan ekonomi mengikat maka pembangunan haruslah kearah pencekapan. Infra seperti jalanraya yang sudah lebar mestilah dijadikan lebih cekap dengan meluruskan dan membuang halangan seperti persimpangan berlampu trafik dan diganti dengan yang bertingkat (fly-over)
  5. Ada, selamat, selesa, cekap dan bernilai estetik - Flyover yang berseni, contohnya.

Friday, February 4, 2011

Wang Rakyat Atau Wang Kerajaan , Pak ?

Jawapan mudahnya wahai Belalang...

Wang yang didalam simpanan kerajaan itu adalah dari hasil cukai, denda,  keuntungan perniagaan GLC dan sebagainya. Kerajaan hanyalah diamanahkan untuk mentadbir wang tersebut itu dengan sebaik-baiknya. Di negara maju seperti USA mereka dengan jelas menamakan wang tersebut sebagai Taxpayer's Money. Ini bagi mengingatkan "pemerintah semasa" bahawa wang tersebut bukan untuk disalahgunakan.

Saturday, January 29, 2011

Kenapa Parti Pembangkang Tidak Diharamkan Pak ?

Jawapan mudahnya...

Setiap perkara atau isu dapat dilihat dari berbagai perspektif. Ada perspektif yang betul ada yang salah. Satu minda hanya dapat melihat satu perspektif sahaja. Seperti kisah gajah dengan orang buta. Setiap sibuta mendapat persepsi tentang gajah mengikut apa yang minda mereka dapat olah. Perspektif yang terbaik ialah gabungan kesemua perspektif yang berbeda itu. Seperti hadis nabi, s.a.w " khilaf antara umatku adalah suatu rahmat". Apabila kesemua perspektif digabungkan dan diimbang-imbangkan perspektif opsyen ketiga akan terbit. Dengan cara ini rakyat akan mendapat opsyen yang terbaik dari keputusan kolektif itu.

Disamping itu keujudan parti pembangkang yang senantiasa menunggu-nunggu untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan juga memberi tekanan kepada "pemerintah semasa" untuk mentadbir negara sebaiknya dan mengikut citarasa rakyat.

Kuasa adalah merosakkan. Kuasa penuh pula merosakkan dengan sepenuhnya jika tidak dikekang. Jadi, dengan peranan yang begitu penting dalam mengawal kerakusan "pemerintahan semasa" maka adalah tidak wajar pembangkang dari mana-mana parti sekalipun dihapuskan atau diharamkan.

Oleh itu rakyat harus memberi kredit sewajarnya kepada pembangkang dari mana-mana parti sekalipun kerana peranan mereka adalah sama penting dengan "pemerintah semasa".

Wednesday, January 26, 2011

Wakil Rakyat Tu Mewakili Ahli Partinya Sahaja Kah, Pak ?

Jawapan mudahnya, Belalang...

Seseorang Wakil Rakyat itu mewakili keseluruhan penduduk yang tinggal didalam kawasan konstituensinya tak kira orang yang mengundinya ataupun tidak !! Ini kerana keseluruhan rakyat, tak kira dari parti mana pun, menggajinya untuk mewakili kepentingan penduduk di konstituensinya.

Lepas Selesai Proses Pengundian Apa Pula Yang Berlaku, Pak

Jawapan mudahnya...

Selepas tahu pihak mana mendapat majoriti kerusi maka pihak bermajoriti akan membentuk kerajaan. Dari saat terbentuknya kerajaan sewajarnya tiadalah lagi nama mana-mana parti harus dibangkitkan. Ini kerana tujuan berparti ialah semata-mata untuk mencari pentadbir negara yangmana matlamat itu sudah tercapai apabila kerajaan sudah terbentuk.

Seterusnya pentadbiran negara/negeri haruslah samarata dan samasekali tidak harus berasaskan keahlian mana-mana parti. Inilah cara demokrasi berlangsung.

Apakah Fungsi Mengundi, Pak ?

Secara mudah, fungsi langsung mengundi ada dua :

1. untuk memilih seseorang bagi mewakili kepentingan satu-satu kawasan didalam dewan penggubal undang-undang yang dikenali sebagai parlimen bagi pusat dan DUN bagi negeri.

2. untuk memilih satu" jawatankuasa" bagi mentadbir negara atau negeri. Jawatankuasa ini dikenali sebagai "pemerintah semasa" atau dalam bahasa inggeris "government of the day".

Tuesday, January 25, 2011

Kalau Kerajaan boleh Ditukarganti Bagaimana Dengan Kakitangan Kerajaan, Pak ?

Wahai Belalang! Jawapan mudahnya ..

Kakitangan kerajaan yang dibawah Ketua Setiausaha KSN/SUN) itu termasuk KSN/SUN adalah dipanggil kumpulan birokrat. Kumpulan ini adalah berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Dan sewajarnya begitu kerana mereka tidak berubah dek sebab berubahnya pemerintah semasa!! Kerja mereka hanyalah mengimplementasi dasar-dasar yang dibuat oleh "pemerintah semasa " .