Saturday, January 29, 2011

Kenapa Parti Pembangkang Tidak Diharamkan Pak ?

Jawapan mudahnya...

Setiap perkara atau isu dapat dilihat dari berbagai perspektif. Ada perspektif yang betul ada yang salah. Satu minda hanya dapat melihat satu perspektif sahaja. Seperti kisah gajah dengan orang buta. Setiap sibuta mendapat persepsi tentang gajah mengikut apa yang minda mereka dapat olah. Perspektif yang terbaik ialah gabungan kesemua perspektif yang berbeda itu. Seperti hadis nabi, s.a.w " khilaf antara umatku adalah suatu rahmat". Apabila kesemua perspektif digabungkan dan diimbang-imbangkan perspektif opsyen ketiga akan terbit. Dengan cara ini rakyat akan mendapat opsyen yang terbaik dari keputusan kolektif itu.

Disamping itu keujudan parti pembangkang yang senantiasa menunggu-nunggu untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan juga memberi tekanan kepada "pemerintah semasa" untuk mentadbir negara sebaiknya dan mengikut citarasa rakyat.

Kuasa adalah merosakkan. Kuasa penuh pula merosakkan dengan sepenuhnya jika tidak dikekang. Jadi, dengan peranan yang begitu penting dalam mengawal kerakusan "pemerintahan semasa" maka adalah tidak wajar pembangkang dari mana-mana parti sekalipun dihapuskan atau diharamkan.

Oleh itu rakyat harus memberi kredit sewajarnya kepada pembangkang dari mana-mana parti sekalipun kerana peranan mereka adalah sama penting dengan "pemerintah semasa".

Wednesday, January 26, 2011

Wakil Rakyat Tu Mewakili Ahli Partinya Sahaja Kah, Pak ?

Jawapan mudahnya, Belalang...

Seseorang Wakil Rakyat itu mewakili keseluruhan penduduk yang tinggal didalam kawasan konstituensinya tak kira orang yang mengundinya ataupun tidak !! Ini kerana keseluruhan rakyat, tak kira dari parti mana pun, menggajinya untuk mewakili kepentingan penduduk di konstituensinya.

Lepas Selesai Proses Pengundian Apa Pula Yang Berlaku, Pak

Jawapan mudahnya...

Selepas tahu pihak mana mendapat majoriti kerusi maka pihak bermajoriti akan membentuk kerajaan. Dari saat terbentuknya kerajaan sewajarnya tiadalah lagi nama mana-mana parti harus dibangkitkan. Ini kerana tujuan berparti ialah semata-mata untuk mencari pentadbir negara yangmana matlamat itu sudah tercapai apabila kerajaan sudah terbentuk.

Seterusnya pentadbiran negara/negeri haruslah samarata dan samasekali tidak harus berasaskan keahlian mana-mana parti. Inilah cara demokrasi berlangsung.

Apakah Fungsi Mengundi, Pak ?

Secara mudah, fungsi langsung mengundi ada dua :

1. untuk memilih seseorang bagi mewakili kepentingan satu-satu kawasan didalam dewan penggubal undang-undang yang dikenali sebagai parlimen bagi pusat dan DUN bagi negeri.

2. untuk memilih satu" jawatankuasa" bagi mentadbir negara atau negeri. Jawatankuasa ini dikenali sebagai "pemerintah semasa" atau dalam bahasa inggeris "government of the day".

Tuesday, January 25, 2011

Kalau Kerajaan boleh Ditukarganti Bagaimana Dengan Kakitangan Kerajaan, Pak ?

Wahai Belalang! Jawapan mudahnya ..

Kakitangan kerajaan yang dibawah Ketua Setiausaha KSN/SUN) itu termasuk KSN/SUN adalah dipanggil kumpulan birokrat. Kumpulan ini adalah berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Dan sewajarnya begitu kerana mereka tidak berubah dek sebab berubahnya pemerintah semasa!! Kerja mereka hanyalah mengimplementasi dasar-dasar yang dibuat oleh "pemerintah semasa " .

Saturday, January 22, 2011

Kenapa kerajaan dipanggil "pemerintah semasa", pak?

Bagus soalan tu, Belalang..

Jawapan mudahnya :

Kerajaan adalah suatu badan yang dipilih rakyat untuk mentadbir sesebuah negara untuk suatu jangkamasa pendek. Seperti juga PIBG sekolah Jawatan Kuasa yang dipilih itu akan berfungsi mentadbir untuk suatu masa tertentu. Ia tidak kekal. Bagi kerajaan biasanya tidak lebih dari lima tahun. Rakyat memberi mandat (kuasa) mentadbir untuk jangka pendek sahaja supaya rakyat dapat review / mengodit (check and balance) keberkesanan serta kecekapan pemerintah semasa mentadbir mengikut kehendak rakyat. Terutama kecekapan dalam penggunaan wang rakyat (Taxpayer's money).

Friday, January 21, 2011

Apa yang mengawal kerajaan dari "membuli" rakyat, pak?

Jawapan mudahnya, Belalang, ialah....

3P ..... Parlimen, Perlembagaan dan Pilihanraya. Apa-apa isu dengan pemerintah semasa (government of the day) boleh dibawa ke parlimen untuk didengari. Tapi oleh kerana terdapat sistem tapisan, setengah isu tidak lepas keparlimen. Jadi ia mungkin tidak berkesan mengekang kerakusan pihak berkuasa.

Satu dari ciri-ciri perlembagaan ialah sebagai perisai kepada rakyat dari kerakusan pemerintah semasa. Ini hanya boleh berkesan sekira pemerintah semasa tidak mempunyai 2/3 majoriti kerusi diparlimen. Dengan majoriti 2/3, perisai rakyat itu akan dapat dibolosi dengan mudah.

Pilihanraya pula hanya berkesan mengawal kerakusan pemerintah semasa sekira ianya berpotensi ditukar-ganti oleh parti lawan. Sekira tiada dayabolehtukar, maka pada teorinya tiadalah sebab pemerintah semasa itu untuk berlaku "baik". Sebab, buat tak betul pun akan tetap memerintah lagi selepas itu!!!

Bagaimana nak pastikan tiada bully membully dari berlaku, pak.? tanya Belalang lagi..

Jawapan mudahnya.........

Asing-asingkan kuasa negara supaya ia tidak menjadi mutlak... biasanya kuasa dipecahkan kepada tiga(3) yang nyata, yakni Executive (jemaah menteri la tu), Legislative (penggubal undang-undang - wakil rakyat la tu) dan Judiciary (Kehakiman). Setiap satu bidang kuasa ini sewajarnya tidak boleh bertindih satu sama lain. Executive tidak ada kuasanya untuk menekan pihak kehakiman supaya menterjemahkan undang-undang mengikut seleranya. Pihak kehakiman pula tiada kuasanya untuk membuat undang-undang melainkan menterjemahkannya sahaja. Penggubalan undang-undang adalah dibawah bidang kuasabadan perwakilan rakyat. Sekira diketahui pencerobohan kuasa berlaku maka demokrasi itu dikira pincang, "corrupt".

Monday, January 17, 2011

Demokrasi tu apa dia pak ?.. , tanya anak saya Belalang.....

Secara mudah demokrasi ialah suatu keadaan yang mana tiada sesiapa yang dapat "membuli" sesiapa. Baik yang besar mahupun yang kuat. Baik kerajaan mahupun rakyat sesama rakyat semuanya tidak bebas untuk membuli seseorang lain. Contohnya, seorang menteri tidak boleh sewenang-wenang berhutang dan tidak mahu bayar hutangnya oleh sebab kedudukannya tinggi. Walaupun mempunyai pistol, seorang polis tidak boleh sewenang-wenangnya mengacu pistolnya kepada seseorang tanpa sebab yang dibolehkan. Seorang askar tidak boleh sewenang-wenang menceroboh masuk kedalam pagar seseorang petani semasa aman. Walaupun besarnya berganda sebuah lori tidak boleh sesuka hati menghimpit kereta atau motosikal. Didalam sistem demokrasi semuanya terkawal. Kalau buli jugak, ada ruang mendapat pembalasan setimpal. Sekira ada ruang lepas (loophole) didalam sistem demokrasi maka demokrasi itu adalah pincang atau "corrupt".